Monday 11 March 2013

Sejarah Sekolah

Klik SINI untuk lihat gambar MB2 dalam pembinaan

SMK Majidi Baru2 telah dibina di sebidang tanah dengan keluasan 9.14 ekar atau 3.7 hektar di Mukim Tebrau, Johor Bahru, Johor mulai tahun 2012. Nama Majidi diambil sempena nama Sir Majidee, salah seorang pemilik tanah yang luas iaitu seluas kawasan dari Depoh Polis ke Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Sir Majidee yang berbangsa Inggeris telah pulang ke negara asalnya England semasa Perang Dunia Kedua meletus. Sultan Ibrahim telah mengambil alih tanah tersebut dan sekaligus menjadikan tanah tersebut milik bangsa Melayu memandangkan Sir Majidee tidak ada meninggalkan pewarisnya.

Sekolah yang dibina di atas LOT PTD 44254 ini dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta iaitu Bintang Kencana Sdn Bhd dan direka bentuk oleh Arkitek MRH Rashidi Architect. Kerja-kerja asas pembinaan yang telah bermula pada tahun 2012 telah dapat disiapkan pada tahun 2013. SMK Majidi Baru 2 mempunyai 4 buah bangunan utama iaitu Blok Akademik 1, Akademik 2, Akademik 3 dan Blok Pentadbiran. Seiring dengan arus globalisasi yang semakin pesat, pelbagai kemudahan disediakan termasuklah Makmal Sains, Bilik Muzik, Bilik Sejarah dan Matematik, Bilik Geografi dan Sejarah, Bilik Pembelajaran Kendiri (SAL) serta tandas khas bagi pelajar kurang upaya (OKU). Blok akademik yang baru dibina ini dapat memuatkan 36 buah bilik darjah dan boleh menampung seramai 1260 orang pelajar untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

SMK Majidi Baru 2 yang kini mempunyai seramai 226 orang pelajar serta dua puluh orang tenaga pengajar dan lima orang staf sokongan telah mula beroperasi sepenuhnya mulai sesi persekolahan Januari 2013. Majlis  Penyerahan Plak Pengoperasian Sekolah Baru serta Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Majidi Baru 2 telah disempurnakan oleh Encik Abdul Aziz bin Redwan, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada 2 Januari 2013.

Di bawah payung kepimpinan pengetua yang pertama, Tuan Haji Shaharuddin bin Saari, SMK Majidi Baru 2 kini mengorak langkah untuk mencipta nama di persada pendidikan sekaligus dalam proses melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, cemerlang dan gemilang dalam pelbagai aspek pada dekad ini.

0 comments :

Post a Comment