Tuesday 25 June 2013

                         MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG)
                       SMK MAJIDI BARU 2, JOHOR BAHRU KALI PERTAMA TAHUN 2013

Alhamdulillah kesyukuran yang setinggi-tingginya dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya buat julung kalinya Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Dan Guru SMK Majidi Baru 2, Johor Bahru dapat dilangsungkan dengan jayanya.

Seawal jam 8.00 pagi 22.06.2013 meja pendaftaran telah diserbu oleh ibu bapa murid. Guru-guru yang dedikasi dan manis setia menanti untuk menyambut kedatangan ibu bapa penjaga murid. Sekalung tahniah diucapkan kepada ibu bapa yang sanggup meluangkan masa untuk menjenguk SMKMB2 yang menjadi tempat anak-anak mereka menuntut ilmu dan kemahiran.

Para hadirin dijamu dengan sarapan pagi yang menyelerakan di kantin sekolah. Majlis ucapan dimulakan dengan perkongsian maklumat yang disampaikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Shaharuddin bin Saari Pengetua SMKMB2, kemudian diikuti oleh perkongsian maklumat oleh Tuan Haji Kedah bin Ali Guru Kaunselor sekolah.

Mesyuarat Agung PIBG dimulakan dengan dipengerusikan oleh Pengerusi Penaja PIBG SMKMB2 En. Shamsir bin Shamsuddin. Alhamdulillah Mesyuarat Agung berjalan lancar dalam suasana yang harmonis dan penuh mesra. En. Shamsir bin Shamsuddin telah dipilih sebagai Yang Di Pertua PIBG SMKMB2 yang pertama. Tahniah diucapkan kepada beliau dan semua yang mengambil bahagian dalam menjayakan mesyuarat kali ini.

Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi, tetamu VIP yang dinanti-nantikan telah tiba, Yang Berbahagia Tuan Haji Amin bin Haji Anis, Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Khas dan Swasta Jabatan Pelajaran Negeri Johor yang akan merasmikan mesyuarat PIBG kali ini. Ketibaan beliau disambut dengan paluan kompang yang dipersembahkan oleh kumpulan kompang pelajar SMKMB2. Di dewan perasmian beliau disambut dengan persembahan sajak dan tarian oleh pelajar tingkatan 1 dan 2 SMKMB2. Sekalung tahniah untuk guru-guru pembimbing.

Majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG berjalan dengan lancar dalam suasana yang penuh muhibbah dan santai. Tepat jam 12.00 tengahari Mesyuarat Agung PIBG SMKMB2 kali pertama tahun 2013 selesai dengan gemilang dan jayanya. Jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis yang amat bermakna ini. Moga kerjasama yang baik ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang in sya Allah. Semoga kita semua dalam peliharaan Allah dan rahmat-Nya. Amin

Barisan VIP dari kiri Tuan Haji Shaharuddin bin Saari (pengetua SMKMB2), Tuan Haji Amin bin Anis(Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta JPN Johor sebagai perasmi) dan En. Shamsir bin Shamsuddin (YDP PIBG SMKMB2)

Laporan disediakan oleh: Ust. Mohd Ruslami bin Mohd Salleh

0 comments :

Post a Comment